bisnes

Pelan positif

Oleh Ayisy Yusof

Sepang: Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan tetap fokus terhadap pasaran Asia Pasifik sambil kekal relevan dalam pasaran domestik termasuk Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Izham Ismail berkata, syarikat penerbangan nasional itu menyusun semula pesawatnya ke destinasi yang betul tahun lalu, sekali gus memberikan sedikit impak ke atas kapasitinya.

“Tahun lalu, kami sebenarnya tidak mengurangkan kapasiti. Kami hanya menyusun semula di tempat yang betul. Benar, terdapat sedikit pengurangan kerana kami mengeluarkan sebahagian pesawat yang tempoh pajakannya hampir berakhir,” katanya.

Beliau berkata, MAB akan membawa kembali enam pesawat baru A330-200 yang ketika ini sedang dalam proses penyelenggaraan di Singapura menjelang Jun tahun ini yang akan terus meningkatkan lagi kapasitinya.

Mengenai persaingan sengit dalam sektor domestik, Izham berkata, MAB dihimpit syarikat penerbangan tambang murah (LCC) dan syarikat penerbangan lain yang mempunyai penerbangan domestik.

Bagaimanapun, beliau berkata, MAB akan meneruskan kedudukannya sebagai sebuah syarikat penerbangan premium.

“Jika anda menjangkakan kami bersaing dengan LCC, saya fikir kami tidak akan menceburi ruang berkenaan dalam aspek tertentu,” katanya.

Izham berkata, MAB bertuah kerana mampu menangani situasi kadar tukaran asing dan bahan api yang tidak menentu melalui proses lindung nilai.

“Berhubung asas kos kami, MAB agak berdaya saing ketika ini,” katanya di sini, semalam.

Mengenai Projek Amal iaitu perkhidmatan sewa khas jemaah haji dan umrah, Izham berkata, pihaknya akan melancarkan perkhidmatan berdasarkan spesifikasi pesawat A380 semasa yang mempunyai 489 tempat duduk.

“Kami tidak akan membuat konfigurasi semula ke atas pesawat A380. Kami mempunyai aspirasi untuk membuat konfigurasi semula ke atasnya selepas 2020. Pesawat terbabit memerlukan tempoh masa di darat yang panjang untuk membuat konfigurasi semula.

“Pemeriksaan berikutnya akan dibuat pada 2021,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 1:18am
d