bisnes

Roberto Carlos duta global AirAsia

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

Kuala Lumpur: AirAsia mengumumkan pelantikan legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos sebagai duta global terbaharunya.

Pengumuman itu dibuat Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail di sini, semalam.

Beliau berkata, pelantikan berkenaan dibuat bagi tujuan pengembangan jenama AirAsia di peringkat global.

“Di samping itu, ia juga boleh menyemarakkan industri bola sepak tempatan,” katanya pada sesi soal jawab bersama media di sini, semalam.

Sementara itu, dalam satu rakaman video yang dibuat Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, beliau berkata, pihaknya berbangga kerana mempunyai pejuang seperti Roberto Carlos dalam barisan duta juara dunia kami.

“Tiada siapa yang memiliki semangat yang berani untuk menggapai cita-cita seperti beliau.

“Dari bermain di jalanan kota Garca dan membuat keputusan untuk menjadi pemain bola sepak profesional pada umur 12 tahun, ke peristiwa sepakan percuma menakjubkan menentang Perancis dan memenangi Piala Dunia, beliau menunjukkan bahawa apabila inginkan sesuatu, beliau akan berusaha sedaya upaya,” kata Tony.

Sementara itu, Roberto Carlos berkata, ini adalah kerjasama pertama membabitkan dirinya dengan syarikat penerbangan.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 2:56am
d