bisnes

Akta khas sewa rumah

Oleh Nurhayati Abllah

Shah Alam: Kerajaan disaran mewujudkan akta khas berkaitan sewa rumah kediaman bagi mewujudkan sistem sewaan rumah lebih berkesan, sekali gus menambah baik undang-undang dan akta sedia ada.

Buat masa ini, antara undang-undang yang terpakai kepada transaksi sewaan kediaman di Malaysia termasuk Akta Kontrak 1950, Akta Distress 1951 dan Akta Specific Relief 1950.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Datuk Nazri Mustafa berkata, sekiranya satu akta khusus untuk sewa diperkenalkan, ia juga dapat menyediakan penyelesaian yang bersepadu berkaitan permasalahan sewa antara penyewa dan tuan rumah.

Beliau berkata, antara lain, tribunal sewa juga dapat ditubuhkan seterusnya membantu menguruskan sebarang isu yang timbul dalam hal perjanjian sewa rumah kediaman tanpa perlu menggunakan khidmat guaman.

“Kebanyakan negara maju seperti United Kingdom (UK) mempunyai akta sewa bagi rumah kediaman yang mana ia bertindak sebagai sandaran utama untuk memuktamadkan sebarang isu berkaitan hal ini.

“Menerusi akta sewa ini juga ia dapat mengurangkan tempoh masalah ini diselesaikan memandangkan ia hanya membabitkan pihak tribunal sewa dan bukan mahkamah,” katanya pada Pameran Hartanah MyRumah 2018 anjuran The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), di SACC Mall, di sini.

Pada pameran itu, Nazri membincangkan topik Bijak Undang-Undang Sewa yang mana mengetengahkan perbincangan hak pemilik dan penyewa kediaman.

Sementara itu, Pengasas Bersama Sublet Menthod, Mohamad Amin Harith yang juga seorang daripada penceramah jemputan MyRumah 2018 turut berkongsi pandangan mengenai Sublet Hartanah.

Beliau berkata, orang ramai perlu mendapatkan penjelasan tepat mengenai pelaburan sublet atau sewa atas sewa yang mana ia adalah salah satu strategi pelaburan tanpa perlu membeli hartanah.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 3:01am
d