bisnes

AirAsia kenal pasti syarikat pemula niaga teknologi sektor pengangkutan

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia bekerjasama dengan Plug and Play Tech Centre, platform inovasi pemula niaga global berpangkalan di Lembah Silikon untuk mengenal pasti, memantau dan menyokong syarikat pemula niaga yang membangunkan produk dan teknologi terkini bagi sektor pengangkutan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia bagi Perkhidmatan Digital, Transformasi dan Korporat, Aireen Omar berkata, kerjasama itu membolehkan syarikat penerbangan itu mengenal pasti teknologi termaju yang akan membantu mengekalkan kepemimpinan AirAsia dalam kos dan pengalaman pelanggan.

“AirAsia akan menjadi rakan utama bagi program Perjalanan dan Hospitaliti Plug and Play bagi mendidik perusahaan dan mengoptimumkan teknologi baru.

“Ia mengubah AirAsia kepada syarikat digital global daripada syarikat penerbangan biasa,” katanya.

Menurutnya, sebagai peneraju dalam penggunaan teknologi baharu, AirAsia menjadi syarikat pertama yang memperkenalkan tempahan penerbangan melalui khidmat pesanan ringkas pada 2003.

“Syarikat juga membenarkan penumpang menempah penerbangan mereka, mendaftar masuk dan membuat perubahan kepada tempahan melalui laman web dan telah mencipta aplikasi mudah alih,” katanya.

Menurut Aireen, AirAsia menjadi syarikat penerbangan paling awal menggunakan kios layan diri yang membolehkan pelanggan membuat pendaftaran masuk serta mencetak pas mereka sendiri, label beg, fungsi kemasukan beg di lapangan terbang dan mencetak label beg sendiri di rumah.

Baru-baru ini, syarikat memulakan sistem pintu keberangkatan masuk yang menggunakan teknologi pengecaman wajah yang menjadikan ia syarikat penerbangan pertama di Asia yang membuat operasi penerbangan pelanggan bersifat automatik sepenuhnya.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 12:26am
d