bisnes

Ekonomi positif

Oleh Mahanum Abdul Aziz dan Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 5.5 hingga 6.0 peratus daripada 5.0 hingga 5.5 peratus, sebelumnya.

Ia susulan pengembangan berterusan permintaan dalam negara dan sektor ekonomi utama serta pengukuhan eksport yang mendorong lebihan akaun semasa yang mapan.

Selain itu, kadar inflasi keseluruhan juga dijangka menjadi sederhana pada tahun ini.

Pada tahun lalu, ekonomi negara mencatat Kadar peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) luar jangkaan iaitu pada paras 5.9 peratus.

Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, semua sektor ekonomi dijangka terus mencatatkan pertumbuhan kukuh.

Beliau berkata, sektor perkilangan dan perkhidmatan akan terus menjadi penyumbang utama pertumbuhan.

“Penggunaan isi rumah kekal disokong oleh persekitaran pasaran buruh yang baik,” katanya pada Taklimat Laporan Tahunan 2017 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 di sini, semalam.

Momentum pertumbuhan yang kukuh juga akan disokong limpahan positif yang berterusan daripada sektor luaran kepada aktiviti ekonomi dalam negeri.

Prestasi perdagangan Malaysia akan mendapat manfaat daripada permintaan global yang menggalakkan, pendedahan kepada kitaran teknologi global, dan kapasiti pengeluaran eksport baharu.

Mengenai kadar inflasi, BNM mengunjurkan inflasi keseluruhan dijangka pada purata antara 2.0 hingga 3.0 peratus tahun ini berbanding 3.7 peratus tahun lalu yang mana unjuran itu lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini antara 3.0 peratus hingga 3.5 peratus.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 12:39am
d