bisnes

PNB umum agihan pendapatan lima dana

Oleh Nasuha Badrul Huzaini dan Nabil Basarudin

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pendapatan berjumlah RM1.88 bilion untuk lima dana.

Ia termasuklah Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2), Amanah Saham Malaysia (ASM) dan ketiga-tiga dana di bawah payung Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pengagihan pendapatan bagi pemegang unit ASB 2 ialah 6.75 sen seunit, manakala pemegang ASM menerima 6.25 sen seunit.

“Bagi ketiga-tiga dana di bawah ASG masing-masing mengagihkan pendapatan sebanyak 4.80 sen seunit (ASG-Pendidikan), 5.20 sen seunit (ASG-Kesihatan) dan 5.15 sen seunit (ASG-Persaraan).

“Prestasi yang lebih baik ini adalah selaras dengan tumpuan dana untuk memberikan pulangan seimbang melalui pelaburan dalam ekuiti dan pendapatan tetap.

“Ia juga seiring dengan strategi PNB untuk memfokuskan dana harga berubah-ubahnya bagi menjana pulangan keseluruhan kepada pemegang unit,” katanya pada majlis pengumuman agihan berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 4:37pm
d