bisnes

PNB jual 90 High Holborn London

Oleh Nasuha Badrul Huzaini dan Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) memuktamadkan penjualan bangunan pejabat premium miliknya, 90 High Holborn yang terletak di pusat bandaraya London.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar bagaimanapun berkata pihaknya tidak boleh memberikan maklumat lanjut mengenai transaksi berkenaan kerana ia masih terikat dalam tempoh sulit.

Abdul Wahid berkata, penjualan itu dibuat berikutan harga tawaran yang menarik daripada pembelinya.

“Kami menjual hartanah berkenaan pada harga yang munasabah dan transaksi berkenaan menghasilkan pulangan yang baik.

“Penjualan itu juga menjana keuntungan serta aliran tunai, justeru kami merancang untuk memanfaatkannya dengan membuat pelaburan semula dalam aset hartanah global yang lain,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan agihan pendapatan lima dananya di sini, semalam.

Ejen hartanah United Kingdom (UK), CoStar pada September tahun lalu menjangka nilai bagi hartanah berkenaan adalah sekitar STG190 juta (RM1.036 bilion). Hartanah mewah itu dibeli oleh PNB pada 2014 dengan harga STG140 juta.

Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata strategi pelaburan hartanah yang dibuat oleh PNB adalah dengan melabur untuk mendapatkan pulangan yang baik.

“Apabila pasaran bertambah baik, sebagai contoh dagangan saham semakin meningkat, kami akan mula mencari peluang untuk keluar daripada pelaburan itu.

“Bagaimanapun, PNB tidak merancang untuk menjual semua hartanah yang kami miliki kerana ada yang mahu kami kekalkan berikutan pulangannya yang mapan,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 1:35am
d