bisnes

Sasar 2 juta pemegang kad Mesra

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Serdang: Petronas Dagangan Berhad (PDB) menyasarkan peningkatan dua juta pemegang kad Mesra Petronas menjelang akhir tahun ini melalui penganjuran pelbagai kempen dan promosi untuk pelanggan setianya.

Ketua Perniagaan Runcitnya Aadrin Azly berkata, peningkatan itu menjadikan jumlah pemegang kad Mesra Petronas sembilan juta menjelang Disember berbanding tujuh juta sekarang.

“Kami melihat sasaran ini mampu dicapai meskipun dalam situasi kos sara hidup semakin meningkat berikutan kami menawarkan ganjaran menarik bagi pemegang kad Mesra Petronas seperti tawaran tiga kali mata ganjaran bagi setiap liter minyak dibeli,” katanya pada majlis penyampaian hadiah bagi pemenang kempen Fuelling Prosperity di sini, semalam.

Kad Mesra Petronas adalah program kesetiaan pelanggan yang menawarkan penebusan mata ganjaran segera untuk setiap pembelian petrol atau barangan di Kedai Mesra.

PDB memberi ganjaran kepada hampir 9,000 pemenang kempen Fuelling Prosperity sempena promosi Tahun Baru Cina, baru-baru ini dengan lebih dua juta penyertaan bagi sepanjang tempoh kempen yang bermula 12 Februari hingga 15 Mac lalu.

Lim Po Fook muncul pemenang hadiah utama dan membawa pulang kad hadiah Petronas RM8,888 bersamaan nilai pengisian minyak petrol untuk tempoh dua tahun.

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 1:37am
d