bisnes

Unjur peningkatan pinjaman runcit

Oleh Suffian A Bakar

Kuala Lumpur: RHB Bank Bhd menyasarkan pertumbuhan pinjaman runcit lebih kukuh tahun ini, disandarkan kepada peningkatan program berkaitan pinjaman dan keupayaan digitalnya.

Pemangku Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Banking Group, Nazri Othman berkata, segmen runcit RHB dijangka meraih pertumbuhan pinjaman 11 peratus bagi 2018 lebih kukuh berbanding pertumbuhan 8.9 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, saiz aset peruncitan RHB bernilai sekitar RM76 bilion setakat Disember 2017 mewakili 46 peratus daripada keseluruhan jumlah pinjaman bank itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran RHB RinggitPlus Credit Card XpessApply via ChatBot di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, pihaknya juga menjangka pengeluaran kad kredit yanng lebih tinggi tahun ini dengan pengenalan RHB RinggitPlus Credit Card XpessApply via ChatBot.

RHB memperkenalkan RHB RinggitPlus Credit Card XpessApply via ChatBot, kaedah permohonan kad kredit melalui ChatBot.

ChatBot adalah pengirim pesanan waktu sebenar dalam RinggitPlus.com.

ChatBot membolehkan pelanggan memohon kad kredit RHB secara atas talian, melalui konsep pesanan ringkas pada bila-bila masa.

Nazri berkata, pengenalan kaedah baru itu adalah hasil kerjasamanya dengan pengendali laman web RinggitPlus.

Beliau berkata, pengguna kini boleh memohon kad kredit dalam tempoh hanya lima minit menggunakan RHB RinggitPlus XpressApply.

“Melalui ChatBot yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengguna dapat menikmati pengalaman yang mudah, pantas dan selamat bagi permohonan kad kredit mereka,” katanya.

Semua permohonan dan dokumen akan diproses dalam talian dan pelanggan hanya perlu mengambil kad kredit di cawangan RHB berdekatan selepas kelulusan diperoleh.

RHB menjangka momentum pertumbuhan pinjaman keseluruhan yang lebih kukuh sebanyak enam peratus pada 2018 berbanding 3.7 peratus pada 2017.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 9:41am
d