bisnes

Pikat 150,000 pengunjung

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB), julung kali menampilkan rumah teres sebagai hadiah utama untuk pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di Stadium Batu Pahat, Johor.

MSAM 2018 bakal berlangsung pada 19 hingga 25 April 2018.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, tahun ini pihaknya menyasarkan 150,000 pengunjung akan hadir sepanjang MSAM berlangsung.

Katanya, program selama seminggu ini adalah acara tahunan PNB yang diadakan sejak tahun 2000 dan sudah berjaya menarik minat 3.6 juta pengunjung.

“Penganjuran acara tahunan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan.

“Dalam masa sama, pameran ini turut memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami pelaburan unit amanah terutama hubung kaitnya dengan risiko pelaburan,” katanya pada majlis prapelancaran MSAM 2018 di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad.

MSAM 2018 turut memperkenalkan 13 syarikat pelaburan PNB yang juga rakan korporatnya untuk tahun ini.

Hadiah utama rumah teres unit tengah di Bandar Universiti Pagoh dibangunkan Sime Darby Property dengan nilai RM375,000.

Antara hadiah lain menanti pengunjung pada majlis perasmian ialah kereta Hyundai Ioniq Kappa 1.6 HEV Plus manakala, Toyota Vios 1.5 GX (AT) pula untuk majlis penutup.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, berbeza dengan tahun lalu, pameran MSAM 2018 turut menampilkan elemen digital dengan penggunaan aplikasi mudah alih MSAM 2018.

Melalui aplikasi ini, pengunjung boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai setiap program atau acara sepanjang MSAM 2018 berlangsung dan mendaftar untuk menyertai mana-mana acara.

Antara program yang dijalankan sepanjang MSAM 2018 termasuklah Kem Perancangan Kewangan Kanak-Kanak ASING, Investment Game Sekolah Kelab Pelaburan Bijak PNB Mega, Cendekiawan Muda Takaful Ikhlas, CCM Duopharma Interschool Showdown dan Simposium Usahawan MSAM 2018.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 6:07am
d