bisnes

Manfaat kepada pendeposit TH

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Pelantikan YTL THP JV Sdn Bhd (YTL THP JV) sebagai satu daripada dua Rakan Penyampaian Projek (PDP) bagi kerja sivil projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) dilihat mampu memberikan manfaat kepada pendeposit Tabung Haji (TH) secara tidak langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Seri Johan Abdullah berkata, konsortium Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd-TH Properties Sdn Bhd ini bertepatan dengan strategi pelaburan TH yang memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pendeposit TH.

“TH dan YTL sudah bekerjasama sejak 20 tahun lalu dan kami juga turut bersama-sama membina projek Express Rail Link (ERL) yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal klia2 dengan KL Sentral.

“Sehingga kini, ERL membawa sekitar 87 juta penumpang sejak 2002 dan dengan gabungan pengalaman antara kedua-dua entiti ini dalam projek berkaitan kereta api, kami yakin dapat melaksanakan tugas dalam projek HSR KL-SG,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Corp Tan Sri Francis Yeoh berkata, pihaknya sangat berminat dengan projek ini, selepas meneroka konsep perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi untuk memudahkan perjalanan lancar antara Kuala Lumpur dan Singapura sejak 1990-an.

“Kami teruja apabila projek ini kini membuahkan hasil dan kami percaya bahawa ia akan menjadi titik perubahan dalam menghubungkan komuniti di Malaysia dan Singapura,” katanya.

Terdahulu, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) memilih dua konsortium untuk kerja sivil projek HSR KL-SG.

Ia diberikan kepada Malaysian Resources Corporation Bhd-Gamuda Bhd (MRCB-Gamuda JV) bagi jajaran di bahagian utara, manakala YTL THP JV bagi jajaran di bahagian selatan.

Kedua-dua konsortium akan melaksanakan semua aktiviti yang perlu sepanjang fasa perancangan, pembinaan, pengujian dan pengoperasian.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 8:07am
d