bisnes

DFTZ jana RM52.1j [METROTV]

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Sepang: Program Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) SME Onboarding sudah menjana jualan keseluruhan RM52.1 juta sejak November 2017.

Menerusi data awal Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) daripada Penilaian Hasil eTRADE 2017, sebanyak 70 pengeluar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai program berkenaan dengan nilai eksport berjumlah RM18.1 juta.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini, 2,651 PKS menyertai DFTZ sejak November tahun lalu.

“Buat masa ini, MITI, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan MATRADE memberi tumpuan menggalakkan lebih ramai PKS menyertai DFTZ tidak hanya menerusi Alibaba.com, malah platform e-dagang lain seperti Qoo10, Amazon, eBay, Trade India serta platform tempatan termasuk Dagang Halal, Aladdin Street dan BuyMalaysia,” katanya pada taklimat media mengenai status DFTZ di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Bhd, Datuk Badlisham Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood.

Projek perintis DFTZ ketika ini berpusat di KLIA Air-Cargo Terminal 1 (KACT1) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diuruskan Pos Aviation Sdn Bhd.

“Dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk inisiatif pelaksanaan WIRA e-Dagang di DFTZ yang diumumkan kerajaan untuk tempoh tiga tahun akan datang, ia akan menggalakkan syarikat e-dagang Bumiputera dapat bersaing diperingkat global,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 6:18am
d