bisnes

Maybank jangka jumlah transaksi M2U meningkat

Oleh Azzman Abdul Jamal

Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangka jumlah transaksi perbankan mudah alih Maybank2U (M2U) akan meningkat kepada 6.4 bilion pada 2018, berbanding 4.27 bilion yang dicapai tahun lalu.

Ketua Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Maybank Datuk Lim Hong Tat berkata, pihaknya yakin angka itu mampu dicapai didorong oleh pengenalan paparan laman Maybank2U baru yang dilancarkan pada 19 April ini.

“Disebabkan perkembangan perbankan mudah alih dan peningkatan penggunaan telefon pintar, jumlah transaksi dalam talian kian bertambah, sekali gus mencatatkan pertumbuhan 49 peratus pada 2017.

“Sepanjang tahun lalu, kami merekodkan 360 juta transaksi menerusi M2U. Platform itu turut mencatatkan jumlah transaksi harian tertinggi sehingga 20 juta transaksi dalam sehari.

“Malah, 99.6 peratus daripada jumlah pelanggan kami melakukan transaksi pembayaran dan pemindahan wang menerusi platform dalam talian,” katanya pada majlis pelancaran laman web baru M2U di sini, semalam.

Beliau berkata, M2U berwajah baru itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat meningkatkan penawaran perbankan digital, selari dengan objektif strategiknya menjadi bank digital pilhan di rantau ini menjelang 2020.

Katanya, M2U baru itu menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik ketika melakukan transaksi.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 12:37am
d