bisnes

Projek mega wujudkan 20,000 pekerjaan

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: Projek mega yang dilaksanakan di Terengganu mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan kebanyakannya dalam industri gas asli, produk petroleum (termasuk petrokimia), produk asas logam, produk getah dan industri peralatan pengangkutan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman berkata, pembangunan yang merancakkan ekonomi itu juga bakal merangsang pembangunan modal insan negeri itu.

“Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembah Silika Terengganu (TSV), Hab Teknologi Terengganu (TTH), Visit Terengganu 2018 dan pembinaan projek Taman Ilmu di Tembila akan memberi kesan positif kepada Terengganu,” katanya dalam Program Siri Pelaburan MIDA ke-5 di sini, semalam.

Siri pelaburan yang bermula pada Januari tahun ini dimulai dengan Perlis dan Kedah, disusuli dengan Kelantan dan Pahang pada Februari lalu, berfungsi untuk memberi maklumat terkini mengenai peluang pelaburan dan kemudahan di setiap 13 negeri di Malaysia.

Acara itu diteruskan semalam dengan kerjasama antara MIDA dan Unit Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu (UTEN-T).

Ia menampilkan pembentangan mendalam oleh Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif UTEN-T, Datuk Wan Mohd Albakri Wan Md Noor.

Mengulas lanjut, Arham berkata, ECRL dengan laluan sepanjang 688 kilometer (km) yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor, Pahang, Terengganu dan berakhir di Tumpat, Kelantan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi di kawasan pedalaman pantai timur.

“Ia juga akan menjadi pemangkin dalam memacu projek penting lain seperti TSV yang bakal menjadi lembah silika pertama dunia dan TTH iaitu hab kreatif dan kebudayaan yang pertama memupuk simbiosis pertumbuhan antara budaya dan teknologi,” katanya.

TSV yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 3 Mac lalu akan mewujudkan sehingga 7,200 pekerjaan kepada penduduk setempat dan berupaya menghasilkan bahan perindustrian berasaskan silika berskala sederhana-besar.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 12:38am
d