bisnes

Starbucks on-the-go di stesen Petronas

Oleh Sofyan Rizal Ishak

PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) merancang membuka 100 kios Starbucks on-the-go di stesen Petronas terpilih seluruh negara dalam dua tahun lagi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, pembukaan kios itu hasil kerjasama dengan pemegang lesen jenama kopi Starbucks di Malaysia iaitu Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd (Starbucks Malaysia).

Ia dijangka melengkapkan strategi perniagaan syarikat dalam menawarkan penyelesaian makanan dan minuman berkualiti, berpatutan dan pantas kepada pelanggan.

“Starbucks menjadi rakan niaga jangka panjang kami yang akan memanfaatkan kelebihan masing-masing bagi memberi pengalaman runcit terbaik kepada pelanggan,” katanya pada pelancaran menu Starbucks Espresso Kaw Kaw dan kios Starbucks on-the-go di Kuala Lumpur.

Pada masa ini, kios itu boleh didapati di Stesen Petronas Penchala Link (arah Damansara) dan beberapa lagi kios bakal dibuka dalam beberapa bulan akan datang.

Pengarah Urusan Starbucks Malaysia Sydney Quays berkata, pihaknya meneliti lokasi stesen Petronas lain bagi kios Starbuck on-the-go dan ia bergantung kepada potensi lokasi serta permintaan pelanggan.

“Kami memperuntukkan sejumlah pelaburan tertentu untuk kios ini bergantung kepada saiz dan lokasi. Ia dikendalikan barista dan hanya menawarkan menu tertentu, tidak sama seperti cawangan sebenar Starbucks,” katanya.

Dalam pada itu, pelanggan di stesen Petronas terpilih berpeluang menikmati menu baru yang ditawarkan melalui kios eksklusif terbabit iaitu Starbucks Espresso Kaw Kaw.

Menu terbabit menggabungkan Starbucks Espresso Dolce Sauce dan susu buih dengan tambahan espresso bagi menghasilkan kopi yang memiliki rasa lebih tinggi atau kaw.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 10:41pm
d