bisnes

Huawei P20 laris lebih RM61.88j dalam 10 saat pertama

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei mengumumkan model telefon pintar terbarunya iaitu siri Huawei P20 menjana jualan lebih 100 juta Reminbi (RM61.88 juta) dalam VMall Huawei untuk tempoh 10 saat pertama.

Menurut kenyataan syarikat itu, Huawei P20 Pro dan Huawei P20 dilancarkan di China pada 12 April lalu dengan teknologi terkini dan kamera yang terbaik dalam kelasnya.

“Huawei P20 Pro adalah telefon pintar pertama di dunia yang memiliki sistem tiga kamera Leica serta terdiri daripada sensor 40 megapiksel (MP) RGB, monokrom 20MP dan 8MP dengan lensa telefoto,” katanya di sini, semalam.

Syarikat itu berkata, siri Huawei P20 daripada Master AI yang akan menambahkan lagi pengalaman dalam merakamkan gambar dengan kecerdasan buatanyang dikuasakan unit pemproses neural (NPU) dalam Kirin 970.

“Master AI meningkatkan setiap aspek dalam fotografi daripada pengoptimuman warna dan fotografi cahaya rendah kepada penstabilan imej, pengesanan gerakan dan auto fokus,” katanya.

Kedua-dua model itu adalah dua model telefon pintar pertama yang mencapai skor tiga digit DxOMark masing-masing 109 dan 102.

Huawei P20 Pro dan Huawei P20 kini boleh didapati di cawangan peruncit sah Huawei dan penyedia mudah alih terpilih di seluruh dunia.

Untuk pasaran Malaysia, Huawei P20 ditawarkan pada harga RM2,599 manakala, Huawei P20 Pro (RM3,299).

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 12:08am
d