bisnes

Strategi mapan

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Bina Darulaman Berhad (BDB), syarikat pemaju hartanah berpangkalan di Kedah merancang untuk melancarkan 75 peratus daripada produk hartanahnya bagi projek rumah mampu milik berharga RM400,000 dan ke bawah.

Pengerusi Kumpulan BDB, Datuk Paduka Rasli Basir berkata, syarikat juga dijangka memanfaatkan bank tanah yang belum dibangunkan bernilai RM344.4 juta dalam memperkukuh kehadirannya dalam pasaran tempatan.

Beliau berkata, tumpuan utama syarikat ketika ini untuk memasang strategi bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang dan kemapanan syarikat dalam sektor hartanah untuk terus kekal relevan.

“Pasaran hartanah tetap kekal mencabar dan sentimen pasaran yang suram diunjurkan akan berterusan sepanjang tahun ini.

“Situasi ini menjadikan syarikat untuk kekal bersama strategi dan pelan tindakan bagi memberi tumpuan dalam menghabiskan unit inventori sedia ada serta memperkenalkan produk baru yang sepadan dengan keperluan pasaran,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kumpulan BDB kali ke-23 di sini, semalam.

Pada 31 Disember 2017, Kumpulan merekodkan prestasi kewangan yang stabil dengan rizab tunai RM119.8 juta dan jumlah aset bernilai RM802 juta serta ekuiti berada pada paras RM515.7 juta berbanding RM537.0 juta pada 2016.

Aset ketara bersih sesaham pula adalah RM1.70 berbanding RM1.77 pada 2016.

Rasli berkata, sebagai sebahagian daripada strategi kemapanannya, BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) akan menawarkan kehidupan berkualiti di perbandaran bersepadunya selain pembangunan komersial untuk meningkatkan gaya hidup masyarakat di kawasan terbabit.

Sementara itu, katanya, ada beberapa projek yang dirancang untuk dilancarkan tahun lalu terpaksa ditangguhkan disebabkan sentimen pasaran yang lemah.

“Bagaimanapun, BDB Land terus melancarkan hartanah di Bandar Darulaman, Darulaman Perdana dan Darulaman Utama pada 2017 manakala Kedah Holdings Sdn Bhd melancarkan pembangunan poket di luar Kedah iaitu Kuala Kangsar, Perak,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya turut memberi jaminan untuk memperkukuh kembali prestasi kewangan Kumpulan seperti melengkapkan projek mengikut masa, peruntukan dan kualiti melalui penggunaan teknologi sistem bangunan berindustri (IBS).

“Kami juga akan meningkatkan strategi jualan dan pemasaran di samping mempromosikan segmen riadah, Fantasia Aqua Park Fasa 1 dan 2, Darulaman Trails and Sanctuary dan Taman Darulaman sebagai aliran perniagaan baru,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 12:21am
d