bisnes

Optimis capai sejuta pelanggan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) optimis untuk mencapai sejuta pelanggan bagi 2018 berikutan lebih 980,000 pelanggan sudah didaftarkan setakat ini.

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Adenan Md Yusof berkata, jumlah itu yakin dapat dicapai kerana tahun ini AmanahRaya akan lebih giat mempromosikan produk amanah yang menjadi antara instrumen penting dalam perancangan pewarisan.

Katanya, AmanahRaya bukan saja menawarkan produk penulisan wasiat, malah teras perniagaan kumpulan meliputi pengurusan amanah, pentadbiran pusaka, peramanahan korporat, pengurusan aset dan dana pelaburan hartanah.

“Akaun amanah sebenarnya amat penting bagi memastikan masa depan waris dilindungi di sisi undang-undang dan terpelihara daripada sebarang masalah pertikaian pusaka.

“Malah, akaun amanah adalah instrumen khas bagi melindungi hak waris dan AmanahRaya berperanan sebagai Pemegang Amanah bagi melaksanakan hasrat penderma melalui arahan yang terkandung dalam Surat Ikatan Amanah,” katanya.

Beliau berkata, apabila waris meninggal dunia, wang yang tersimpan dalam akaun amanah tidak termasuk dalam harta pusaka yang perlu diagihkan menurut hukum syarak atau faraid (bagi yang beragama Islam) atau mengikut Akta Pembahagian 1958 (bagi yang bukan beragama Islam).

“Disebabkan itu kami di AmanahRaya menggalakkan pelanggan untuk membuka akaun amanah di mana melaluinya akan dibuat Surat Ikatan Amanah.

“Surat Ikatan Amanah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak akan menyatakan mekanisme akaun serta senarai penerima kepada harta yang diamanahkan,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 10:24am
d