bisnes

Cari lokasi strategik

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

Kuala Lumpur: Rangkaian kedai buku MPH Bookstores Sdn Bhd (MPH) mencari lokasi strategik dan sesuai untuk mengembangkan operasinya tahun ini.

Ketua Operasinya, Donald Kee berkata, pencarian itu tertumpu di Semenanjung Malaysia dan dalam masa sama pihaknya turut mengintai peluang mengembangkan operasi di Sabah.

Katanya, pelaburan dalam bidang peruncitan pada masa ini tidak lagi seperti dulu yang mana pelbagai faktor perlu dipertimbangkan untuk menjana hasil.

“Kadar pembacaan semakin meningkat, tetapi pembaca bukan hanya menerusi buku saja. Banyak bahan bacaan lain seperti jurnal atau akhbar.

“Justeru, kami mencari lokasi sesuai untuk membuka cawangan baru dan mungkin mengekalkan identiti MPH yang beroperasi dalam pusat beli-belah,” katanya selepas majlis sambutan Hari Buku Sedunia di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MPH Group of Companies, Tan Sri Ismail Yusof dan Ketua Eksekutif MPH, Datuk Ng Tieh Chuan.

Sambutan berkenaan merangkumi penyampaian Anugerah Penerbit Tempatan dan Antarabangsa Terbaik, pelancaran buku komik terbaru dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat MPH dengan UNICEF dan Sekolah Antarabangsa Garden.

Ismail berkata, anugerah itu diharap dapat mewujudkan penghargaan kepada penulis dan penerbit terpilih.

“Ia memberi motivasi kepada mereka untuk terus menghasilkan karya unggul,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 1:04am
d