bisnes

Nestle mahu terus tawar pilihan lebih sihat, lazat

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Nestle (M) Bhd (Nestle) menyasarkan untuk terus menawarkan pilihan yang lebih sihat dan lazat kepada rakyat Malaysia melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti bagi menggalakkan gaya hidup lebih aktif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alois Hofbauer berkata, syarikat yakin strategi FIT jangka panjangnya, portfolio jenama kukuh dan kakitangan berkemahiran tinggi akan terus menyumbang kepada pertumbuhan mampan dan keuntungan syarikat.

“Selain itu, fokus berterusan dalam inovasi juga akan menyumbang kepada prestasi lebih baik meskipun tahun depan dijangka terus mencabar,” katanya di sini, semalam.

Nestle mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersih kepada RM231.21 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu berbanding RM230.69 juta bagi tempoh masa sama tahun lalu.

Ia turut mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 4.2 peratus kepada RM1.42 bilion berbanding RM1.37 bilion pada suku pertama tahun sebelumnya didorong jualan domestik dan eksport yang kukuh.

Beliau berkata, prestasi baik itu dipacu sebahagian besarnya oleh strategi FIT berterusan yang disokong tiga teras iaitu Fuel to Grow, Innovate to Grow dan Transform to Grow.

Menurutnya, strategi FIT yang sangat berkesan itu menyumbang kepada pertumbuhan syarikat yang mampan, sekali gus membolehkan syarikat meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan produktiviti.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 12:26am
d