bisnes

Tawar diskaun 95%

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

Kuala Lumpur: Jualan buku Big Bad Wolf (BBW) kini kembali di Melaka dengan diskaun sehingga 95 peratus.

Pengarah Urusan BookXcess dan penganjur BBW Andrew Yap berkata, jualan berkenaan yang diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dari 27 April hingga 6 Mei depan menawarkan buku pada harga serendah RM5.

“Jualan bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari di mana buku pelbagai bahasa menanti pengunjung dengan diskaun mengujakan antara 75 hingga 95 peratus,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima maklum balas dalam kalangan penggemar buku yang mahukan BBW diadakan di Melaka dan pihaknya membuat keputusan memilih lokasi di MITC pada siri jelajah tahun ini.

“BBW yang diadakan di Kuala Lumpur setiap tahun menerima sambutan menggalakkan daripada penggemar buku dan kami memilih ke Melaka tahun ini.

“Kami berasa gembira dapat kembali dengan pilihan buku yang menarik untuk semua orang,” katanya.

BBW 2018 menawarkan pelbagai pilihan untuk pembaca daripada pelbagai peringkat usia iaitu kanak-
kanak, remaja dan dewasa.

Ia menyediakan pilihan buku yang menepati genre daripada kesusasteraan, biografi, romantis, aksi, kembara, misteri, bantu diri, masakan, seni dan kraf tangan, pelancongan serta jenaka.

Peminat filem juga mampu memperoleh barangan seperti poster dinding berbingkai dan papan tanda hiasan pada harga daripada RM10.

Walaupun tempahan dan pembelian awal buku tidak disediakan dalam talian, peminat boleh melihat previu judul buku yang ditawarkan sewaktu jualan menerusi laman Facebook BBW.

Pengunjung dinasihatkan menyediakan beg sendiri untuk jualan buku itu.

Untuk maklumat lanjut dan berita terkini, layari laman Facebook Big Bad Wolf Books di https://www.facebook.com/bbwbooks/

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 12:33am
d