bisnes

Peruntuk RM300j

Oleh Ayisy Yusoff

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Berhad (PDB) memperuntukkan perbelanjaan modal RM300 juta bagi menaik taraf dan mengubah suai stesen sedia ada serta pelaksanaan aktiviti perniagaan keseluruhan pada tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, syarikat merancang untuk menaik taraf 15 stesen dan mengubah suai 1,045 stesen Petronas di seluruh negara.

“Kami lebih memberi fokus kepada stesen sedia ada, menvisualkan sesetengah cawangan Mesra melalui konsep warna hitam kelabu dengan tawaran dan perkongsian berbeza di mana kami mahu mengembangkan lagi perniagaan bahan api dan bukan api,” katanya pada mesyuarat agung tahunan ke-36 PDB di sini, semalam.

Beliau berkata, PDB sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu pengedar menjalankan perniagaan mereka dalam keadaan pasaran yang mencabar.

“Bantuan kami kepada pengedar termasuk menyemak semula yuran lesen yang lebih rendah, menyediakan insentif jualan lebih baik dan program jaminan margin pengedar,” katanya.

Ibrahimnuddin berkata, PDB juga merombak mata kesetiaan kad Mesra kepada tiga kali lebih tinggi di mana ia akan meningkatkan jualan di Kedai Mesra.

“Kami bekerjasama dengan pengedar untuk menyediakan penyelesaian holistik dan mewujudkan pengalaman pelanggan yang terbaik,” katanya.

Menurutnya, tiada stesen Petronas yang menamatkan operasi berbanding lebih 300 stesen petrol dalam industri itu ditutup sejak pengenalan mekanisme bahan api mingguan yang baru.

Sementara itu, PDB juga memuktamadkan tiga kontrak perniagaan komersial pada 2017 bagi membekalkan bahan api pesawat kepada US-Bangla Airlines, Himalaya Airlines and Air Seoul.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 1:21am
d