bisnes

Mampu dibayar

Oleh Shahrizan Salian

Kuala Lumpur: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pengendali dan pemilik Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi jaminan tambang yang dikenakan kepada pengguna perkhidmatan itu adalah kompetitif dan ‘mampu dibayar’.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, tambang bagi perkhidmatan ECRL akan dikawal selia dengan ketat dan akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Kami ada mendengar terdapat pihak yang mengatakan tambangnya akan mencecah sehingga RM1,000, namun mustahil ia berlaku sedemikian. Kami juga tidak boleh mengenakan caj penumpang lebih tinggi daripada harga kapal terbang kerana tiada siapa yang akan menggunakannya jika harganya begitu.

“Tambang (ECRL) perlu kompetitif dan tambang yang sebenar akan diumumkan SPAD pada 2024 kelak. Namun apa yang pasti, ia mampu dibayar kerana jika dilihat kebanyakan pengangkutan awam di Malaysia sebahagiannya turut disubsidi,” katanya dalam satu temu bual bersama NSTP.

Mengulas lanjut, Darwis berkata, MRL secara dasarnya memberikan tumpuan kepada perkhidmatan kargo dengan menyasarkan 30 peratus penumpang dan 70 peratus lagi disumbangkan oleh kargo.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, MRL akan mengkaji kekerapan perjalanan tren dan menilainya bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan.

“Sebagai contoh, jika terdapat banyak permintaan dari Kuantan, kami akan menambah perkhidmatan antara tiga atau empat tren sehari atau lima hingga tujuh tren.

“Dalam perancangan kami sekarang ada 28 perkhidmatan iaitu 14 perkhidmatan pergi dan 14 perkhidmatan balik setiap hari,” katanya.

Mengenai perkembangan kemajuan projek ECRL, beliau berkata, kebanyakan kerja awalan sudah banyak disiapkan termasuklah pembinaan tapak kem dan akses jalan ke tapak pembinaan di beberapa lokasi di tiga negeri.

Katanya, kerja dapat dilaksanakan secara serentak memandangkan MRL sudah mendapat kebenaran daripada tanah kerajaan untuk dimasuki lebih awal, sebelum urusan dengan pemilik persendirian dibuat kemudian.

“Bagi proses pengambilan tanah pula, lebih kurang 68 peratus adalah milik persendirian dan selebihnya milik kerajaan. Kami sedang dalam proses mengambil alih tanah persendirian,” katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 4:42am
d