bisnes

Pusat sehenti automotif pertama

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Naza Automall kembali dengan lebih banyak jenama automotif menjadikan ia pusat sehenti galeri automotif pertama Malaysia yang menawarkan tawaran eksklusif menarik untuk pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif) Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, pelanggan boleh menikmati pakej istimewa yang hanya boleh didapati melalui pusat sehenti itu untuk jenama kenderaan dan motosikal di bawah Kumpulan Naza.

Menurutnya, Naza Automall juga memberikan tawaran bagi segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) daripada jenama lain bagi memenuhi lonjakan permintaan terhadap dua segmen itu pada masa ini.

“Kami beraspirasi menjadikan ia destinasi pusat sehenti bagi keperluan automotif bermula daripada kategori permulaan hingga mewah,” katanya, di sini.

Beliau berkata, Kumpulan Naza akan memulakan kempen promosi bagi Naza Automall bagi membolehkan pelanggan yang membeli kereta dan motosikal berpeluang memenangi percutian empat hari tiga malam dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya menyaksikan perlawanan separuh akhir bola sepak Piala Dunia FIFA 2018 di Moscow.

Menurutnya, pelanggan boleh mendapatkan maklumat mengenai kempen itu dengan berkunjung ke Naza Automall mulai hari ini.

Naza Automall diiktiraf bilik pameran automotif terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book Of Records yang mempamerkan 14 jenama automotif baru serta terpakai daripada pelbagai segmen dan jenama seperti Maserati, Kia, Peugeot, Citroen, Chevrolet, Ducati, Indian Motorcycle dan Vespa.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 8:45am
d