bisnes

Sasar 70 peratus

Oleh Shahrizan Salian

Kuala Lumpur: Pembabitan syarikat, kontraktor, pembekal dan perunding tempatan dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah tinggi, kata pemilik dan pengendalinya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, penyertaan peserta tempatan di dalam projek mega itu pada peringkat awal adalah tinggi dengan angka terkini menunjukkan pembabitan sebanyak 237 syarikat, pembekal, perunding dan subkontraktor.

“Ini baru peringkat awal, akan datang adalah kerja teras yang tetap dan tendernya akan diberikan. Pakej efektif sudah pun dikeluarkan tender. Dua pakej itu kebanyakannya di Pahang manakala baki pakej akan dikeluarkan secara berperingkat.

“Kami menetapkan sasaran 70 peratus penyertaan tempatan. Cabarannya adalah pekerja am, maksudnya buruh binaan. Adalah sukar untuk mengambil pekerja tempatan, itulah cabarannya. Ini adalah jenis kerja 3D (kotor, berbahaya dan sukar), memang akan ada cabaran.

“Malah, kami sudah melakukan secara agresif dari segi mengadakan jerayawara memanggil dan mempelawa orang ramai untuk turut serta, tetapi jika tiada yang berminat, apa yang boleh dibuat? Kami terpaksa memberitahu kontraktor, bahawa mereka perlu mendapatkan sendiri pekerja am,” katanya.

Menjawab dakwaan pengkritik mempertikaikan penyertaan pekerja dari China, Darwis berkata, pembabitan rakyat negara itu dalam kerja pembinaan hanyalah kira-kira 18 peratus.

Beliau menjelaskan, pembabitan pekerja dari China adalah tidak banyak dari segi kerja di peringkat tapak, sebaliknya lebih kepada peringkat pengawasan.

“Saya ingin menjelaskan, orang ramai terlalu skeptikal dengan kemampuan China, sedangkan mereka mempunyai rangkaian rel sepanjang 128,000 kilometer berbanding kita yang baru 4,000 kilometer.

“Kita berdepan cabaran untuk membina keretapi berkelajuan tinggi (HSR), mereka sudah ada rangkaian lebih 20,000 kilometer. Itu menunjukkan (industri rel) negara itu sangat besar dan berkeupayaan,” katanya.

Darwis berkata, tahap kebolehpercayaan teknologi tren dari China pada masa ini juga sudah hampir menyamai keupayaan negara Eropah.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 9:33am
d