bisnes

Tealive tembusi enam pasaran Asia Pasifik

Oleh Nabil Basaruddin

Petaling Jaya: Tealive, jenama minuman teh tempatan di bawah kendalian Loob Holding Sdn Bhd (Loob Holding) bakal menembusi enam pasaran baru di Asia Pasifik, sekali gus meningkatkan kehadirannya di lapan negara menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Bryan Loo berkata, selain pasaran tempatan, Tealive mempunyai operasi di Ho Chi Minh, Vietnam dan dijangka melancarkan perniagaan di Melbourne, Australia bulan depan.

Beliau berkata, setakat ini syarikat mempunyai lima cawangan di Vietnam dan bercadang meningkatkannya sehingga 25 cawangan dan 10 cawangan di Australia tahun ini.

Katanya, dalam memperluaskan perniagaannya di pasaran antarabangsa, pihaknya bekerjasama dengan syarikat konglomerat tempatan dalam bidang makanan dan minuman serta pengiklanan.

“Kami optimis beroperasi di luar negara memandangkan sambutan menggalakkan bagi pasaran domestik dan berdasarkan kejayaan di Vietnam, ia membuka peluang dalam tinjauan di negara lain seperti Australia.

“Seperti di Vietnam, ia adalah ekonomi yang berkembang dengan 75 peratus populasinya adalah golongan muda.

“Tealive adalah minuman yang selari dengan trend dan budaya yang sinonim dengan masyarakat tempatan,” katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 10:31am
d