bisnes

Pentas tonjol idea

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) menjadi platform peneraju di rantau ini bagi mempamerkan reka cipta, teknologi dan produk baru sejak dianjurkan kali pertama pada 29 tahun lalu.

Presiden Malaysian Invention and Design Society (MINDS) Tan Sri Augustine SH Ong berkata, ITEX menjadi bukti kepada keupayaan masyarakat di Malaysia untuk mereka cipta perkara baru di setiap peringkat umur bermula daripada pelajar muda sehingga profesor universiti.

“Sejak enam tahun lalu, pameran ini memaparkan lebih 1,000 reka cipta dan inovasi baru setiap tahun melalui kerjasama dengan rakan strategik kami,” katanya pada majlis pelancaran ITEX 2018 di sini, semalam.

ITEX dianjurkan MINDS dan dikendalikan penganjur pameran yang memenangi anugerah iaitu C.I.S Network Sdn Bhd.

Beliau berkata, edisi ITEX terbaru iaitu ITEX 2018 bakal berlangsung pada 10 hingga 12 Mei ini dan mempamerkan lebih 1,000 reka cipta membabitkan penyertaan dari 20 negara seperti China, Jerman, Korea dan Turki.

Menurutnya, ITEX 2018 bakal tampil dengan tema Nyalakan Kreativiti Anda bagi memberi aspirasi kepada orang ramai memikirkan penyelesaian atau inovasi yang boleh meningkatkan kualiti hidup.

“Kami jangkakan edisi tahun ini mampu menarik 13,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran sama seperti tahun lalu,” katanya.

Antara tarikan utama ITEX 2018 adalah penganjuran Pameran Pereka Cipta Muda Dunia (WYIE), Pameran Reka Cipta Muda Asia (AYIE), Pameran Reka Cipta Muda Malaysia (MYIE) dan aktiviti seperti sesi PITCH4FUND, seminar usahawan pemula dan perbincangan modal teroka ke usahawan (VC2E).

ITEX 2018 menyasarkan kepada prospek pelaburan, pembuatan dan komersial.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 10:33am
d