bisnes

Lembaran baru

Oleh Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Kerajaan yang bakal dibentuk Pakatan Harapan (PH) perlu segera menjelaskan rancangan kewangan dan hala tuju ekonomi di bawah kepemimpinan baru bagi memastikan keyakinan pelabur terhadap negara ini kekal mantap, kata penganalisis.

Malah, agensi penarafan antarabangsa juga perlu diyakinkan bagi memastikan penarafan hutang negara ketika ini tidak terjejas susulan kemenangan luar jangkaan pakatan yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

RHB Research Institute Sdn Bhd berkata, Malaysia dan pasaran modalnya kini memasuki lembaran baru berikutan kejayaan PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kelmarin.

Justeru, katanya, kejelasan mengenai dasar dan strategi ekonomi yang akan diambil PH penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur terhadap pasaran negara ini.

Dengan pasaran modal sudah mengambil kira kemenangan PH pada PRU14, firma penyelidik itu menjangkakan aktiviti penjualan sementara akan berlaku apabila pasaran saham dibuka Isnin ini.

“Kami percaya pelabur dan dana portfolio asing terutamanya, akan pilih untuk keluar buat sementara kerana akan terdapat tekanan jualan terhadap ringgit.

“Justeru, agensi penarafan antarabangsa perlu diyakinkan bahawa kerajaan PH mempunyai strategi ekonomi yang berdaya maju,” katanya dalam nota penyelidikan.

RHB Research berkata, kelemahan ringgit akan memanfaatkan sektor berorientasikan eksport seperti teknologi, perkayuan, produk getah dan pengeluar perabot.

Mengenai implikasi segera terhadap ekonomi, RHB Research berkata, beberapa projek pembinaan mega yang dibiayai kerajaan akan dinilai semula, sementara beberapa perniagaan mungkin menangguhkan pelaburan sehingga ada penjelasan lanjut.

Sementara itu, Penganalisis Risiko Hutang Kerajaan Moody’s Investors Service, Anushka Shah berkata, kemenangan PH dalam PRU14 adalah sesuatu yang baru bagi Malaysia kerana negara ini belum pernah menyaksikan peralihan kuasa daripada BN sejak kemerdekaan pada 1957.

Ia berkata, beberapa janji kempen PH akan memberi kesan kepada penarafan hutang Malaysia jika dilaksanakan tanpa sebarang pelarasan lain.

Katanya, ia termasuk cadangan pemansuhan GST, yang mana tanpa langkah mengimbangi akan meningkatkan pergantungan Malaysia terhadap pendapatan berkaitan minyak, dalam jangka terdekat sekurang-kurangnya, menyempitkan asas pendapatan kerajaan.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 10:41am
d