bisnes

TNB peruntuk RM18.8 bilion pelaburan modal tiga tahun

Oleh Nurhayati Abllah

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited untuk terus memperkukuhkan operasinya dengan memperuntukkan sejumlah RM18.8 bilion bagi pelaburan modal untuk tempoh tiga tahun sehingga 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azman Mohd berkata, pelaburan itu bagi memperkukuhkan operasi grid untuk mengukuhkan aspek pendigitalan dan automasi, selain mempertingkatkan kebolehpercayaan syarikat.

“Pelaburan modal RM18.8 bilion itu bagi transmisi dan jaminan pengagihan grid di bawah Tempoh Pengawalseliaan kedua TNB manakala RM2.7 bilion daripadanya turut dilaburkan ke dalam teknologi Grid Masa Depan untuk membantu meningkatkan kebolehpercayaan dan kecekapan grid.

“Ini termasuk penempatan berjadual 340,000 meter pintar di Melaka dan penempatan 1.2 juta meter pintar tambahan di Lembah Klang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TNB ke-28, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin.

Azman berkata, skala dan kehadiran operasi TNB di Malaysia juga memberikan peluang untuk menyokong vendor, komuniti dan ekonomi tempatan.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 10:00am
d