bisnes

Tawaran hebat Girang Syawal

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Subang Jaya: Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), pengendali rangkaian peruncitan jenama Mydin melancarkan kempen Girang Syawal Tiba 2018 yang membabitkan pelbagai tawaran dan aktiviti menarik sepanjang bulan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kempen itu bertujuan memberi kemudahan kepada pengunjung pasar raya Mydin dalam mendapatkan keperluan untuk menyambut Ramadan dan meraikan Aidilfitri.

“Bersempena kempen ini, kami menyediakan pelbagai seleksi kurma untuk berbuka puasa, bazar Ramadan, peraduan menarik dan koleksi pakaian serta kelengkapan hari raya pada harga berpatutan,” katanya pada pelancaran kempen terbabit di sini, semalam.

Hadir sama, barisan artis di bawah syarikat rakaman FMC iaitu Haqiem Rusli, Tajul, Wani, Sissy Imann, Zoey Rahman dan Ernie Zakri yang menyanyikan lagu raya berjudul Girang Syawal Tiba seiring dengan tema Ramadan Raya Mydin tahun ini.

Beliau berkata, pasar raya Mydin akan menyediakan pelbagai jenis kurma yang didatangkan khas dari Timur Tengah khusus untuk pelanggan Mydin dan turut mengadakan Bazar Ramadan yang menawarkan lebih 200 juadah bagi membolehkan pelanggan mendapatkan juadah berbuka puasa setiap hari.

“Kempen ini juga akan menyaksikan Mydin tampil dengan koleksi baju raya jenama Mikayla untuk pakaian wanita dan Mikhail (pakaian lelaki) yang memiliki rekaan menarik pada harga berpatutan,” katanya.

Ameer berkata, Mydin memperkenalkan edisi terhad Kad Meriah iaitu program kesetiaan Mydin bersempena kempen itu di mana ia membolehkan pelanggan menikmati pelbagai keistimewaan seperti harga istimewa untuk ahli, mengumpul mata ganjaran dan menebus baucar beli-belah Mydin.

“Apa paling menarik, pelanggan yang memiliki Kad Meriah akan berpeluang untuk menukar mata ganjaran Meriah kepada Air Asia Big Point untuk menebus tiket kapal terbang bersempena kempen kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 9:39am
d