bisnes

Harga rendah

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Pameran perkhidmatan dan kelengkapan kediaman, HOMElove menawarkan promosi hebat pelbagai produk pada kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dijangka memberi kelebihan kepada pengguna.

Pengurus Kanan Acara Jualan dan Pemasarannya, Stephanie Cheah berkata, pameran yang diadakan bermula 25 hingga 27 Mei ini adalah masa tepat untuk pengguna mendapatkan keperluan kediaman pada harga lebih rendah.

“Kami menyediakan pelbagai produk daripada tiga segmen berbeza iaitu perabot, kelengkapan rumah dan servis membaiki daripada 150 jenama terkemuka tempatan.

“Hampir 95 peratus pempamer kali ini menawarkan barang serta servis dengan kadar sifar GST yang mana harga ditawarkan lebih rendah di samping banyak hadiah percuma akan diberikan kepada pengunjung bertuah.

“Orang ramai boleh berkunjung ke Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) sepanjang tiga hari pameran ini berlangsung kerana mereka juga berpeluang untuk memenangi hadiah bernilai lebih RM100,000,” katanya pada sidang media HOMElove di sini, semalam.

Sepanjang tiga hari pameran itu, pengunjung yang berbelanja RM1,000 ke atas berpeluang menebus hadiah istimewa dan menyertai sesi pembelian atas pembelian barang tertentu pada harga serendah RM1 yang dijalankan bermula 3 petang.

Lebih menarik lagi, pengunjung yang berbelanja di pameran HOMElove dapat menikmati hadiah percutian ke Bali, Indonesia dengan pakej percutian 3 hari 2 malam secara percuma.

Stephanie berkata, bagi penganjuran kali ini, pihaknya menyasarkan transaksi jualan keseluruhan mencecah RM30 juta atau lebih bersandarkan kepada promosi sifar GST oleh pempamer.

“Bagi HOMElove yang diadakan di MVEC ini, kami juga menjangkakan terdapat lebih 150,000 pelawat dengan lebih 350 tapak pameran disediakan,” katanya.

HOMElove juga bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Pulau Pinang pada Ogos ini, Johor Bahru (September) dan Kuching (November).

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 2:57am
d