bisnes

Projek NFC dilaksanakan di Johor

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

JOHOR akan menjadi hab ternakan lembu daging terbesar negara apabila projek National Feedlot Corporation (NFC) dilaksanakan di negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, projek yang akan diberi nafas dan jenama baharu, akan dilaksanakan sebaik mendapat kelulusan Kabinet dua minggu lagi.

“Satu kertas Kabinet akan saya bawa untuk meneruskan projek yang objektifnya sangat baik iaitu untuk membekalkan 30 peratus keperluan daging tempatan.

“Objektif ini sangat murni dan saya sudah berbincang dengan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian supaya melihat semula status tanah yang dahulunya digunakan untuk projek ini iaitu sebahagiannya di Muar, Segamat dan Pagoh untuk meneruskan projek ini.

“Jika projek ini diluluskan oleh Kabinet, maka Johor akan menjadi satu destinasi atau hab ternakan lembu daging yang terbesar dalam negara kita. Itu hasrat saya untuk menjayakan projek ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, hari ini.

Salahuddin dalam kunjungan pertamanya sebagai menteri ke pejabat Menteri Besar Johor berkata, sekiranya projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, telus dan segala pemantauan dilakukan dengan baik, maka ia dapat membantu ramai usahawan muda.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Osman berkata, pihaknya sudah meminta kerjasama Salahuddin untuk melihat semula isu penyalahgunaan status tanah seluas 1,618.74 hektar di Ayer Hitam yang sepatutnya dijadikan sebagai Pusat Pertanian Bersepadu negeri ini.

“Pusat Pertanian Bersepadu di Ayer Hitam ini tidak berfungsi sebagai mana matlamat kerajaan dan kita lihat ia sudah menyeleweng daripada matlamat itu yang mana tanah itu yang sudah diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sepatutnya ia untuk kita tanam tanaman kontan supaya tidak perlu bergantung kepada import tetapi ia sudah diguna pakai untuk tanaman kelapa sawit. Itu sudah lari daripada matlamat asal,” katanya.

Dalam kunjungan itu juga, Salahuddin dan Osman turut membincangkan mengenai bantuan sara hidup nelayan selain usaha untuk memperkasakan tugas mereka memajukan Johor termasuk bekerjasama menjalankan amanah yang diberi rakyat di kawasan mereka iaitu Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 8:44pm
d