bisnes

Syor SST bawah 6 peratus

Oleh Mohd Zaky Zainuddin dan Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Harga kenderaan belum dapat dipastikan menjadi lebih rendah selepas pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) memandangkan kadar dicadangkan itu adalah lebih tinggi berbanding kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini, kata peserta industri.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, kadar 10 peratus SST yang dicadangkan kerajaan dan mekanisme regim cukai berkenaan akan memainkan peranan penting dalam menentukan harga kenderaan kelak.

Katanya, MAA mengharapkan kerajaan menetapkan kadar SST lebih rendah, bagi memastikan harga kenderaan lebih murah berbanding ketika GST dilaksanakan sejak 1 April 2015 pada kadar 6.0 peratus sebelum sistem percukaian itu ditetapkan kepada kadar sifar buat sementara mulai 1 Jun ini.

“Secara umumnya, SST sebelum GST dilaksanakan dulu adalah pada kadar 10 peratus. Jika mengambil kira angka ini, kita menjangkakan harga kenderaan akan meningkat pasca-SST. Ini adalah perkiraan mudah jika kadarnya sama seperti SST sebelumnya,” katanya.

Aishah berkata, MAA mencadangkan kerajaan menetapkan kadar SST lebih rendah berbanding GST bagi memastikan harga kenderaan turun, sekali gus menarik lebih ramai rakyat Malaysia membeli kenderaan.

“Kita mengharapkan kadar sebenar yang akan ditentukan kelak lebih rendah daripada enam peratus. Apapun kita menantikan keputusan kerajaan mengenai kadar SST. Masa GST dilaksanakan, harga kereta mengalami sedikit penurunan,” katanya.

Bagi Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, pihaknya belum dapat memastikan sama ada penetapan kadar 10 peratus SST akan meningkatkan atau menurunkan harga.

Katanya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi mengenai harga, sebaliknya PERODUA akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan bagi mengetahui butiran lanjut dan hala tuju pelaksanaan semula SST.

“Kita akan bersiap sedia untuk pelaksanaan SST dan kita menunggu keputusan kerajaan mengenai bila ia akan dilaksanakan,” katanya.

Baru-baru ini dalam satu kenyataan dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengumumkan SST akan dikenakan pada kadar 10 peratus menimbulkan reaksi berbeza pelbagai pihak yang terbabit dalam industri.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 7:52am
d