bisnes

Tawar peranti terkini

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad (Celcom) terus memberikan pengalaman pelanggan yang hebat menerusi Celcom EasyPhone dan pelan pascabayarnya yang ditambah baik.

Bermula 1 Jun 2018, Celcom menawarkan cara paling mudah untuk memiliki peranti terkini dengan EasyPhone yang membenarkan pelanggan memiliki atau menyewa serta menaik taraf peranti mereka pada bila-bila masa.

Ketua Harga dan Pemasaran Runcitnya, Zuwairi Zakaria berkata, EasyPhone kini dipertingkat memandangkan Celcom menerima permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan.

Katanya, EasyPhone menawarkan fleksibiliti untuk menaik taraf peranti pelanggan pada bila-bila masa pada kadar serendah RM120.

“Berbanding pelan EasyPhone sebelum ini, pelanggan perlu membayar mengikut pilihan kontrak dan tiada penukaran peranti ditawarkan namun bermula Jun ini, pelanggan boleh memiliki atau menyewa peranti baru pada nilai serendah RM35 setiap bulan menerusi EasyPhone.

“Selain itu, EasyPhone baru ini juga didatangkan dengan perkhidmatan Phone Care iaitu memberi pilihan mudah bagi pelanggan menggantikan peranti mereka sekiranya berlaku kerosakan atau kecurian,” katanya di majlis pengenalan Celcom EasyPhone dan Pelan Mobile Family di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemasaran (Prabayar dan Pascabayar), Daren Victor dan Ketua Perniagaan Perantinya, Harcharan Singh.

Sementara itu, Celcom memperkenalkan Pelan Mobile Family yang terkini, pelan pascabayar tambahan yang membolehkan perkongsian Internet sehingga 125GB di antara ahli keluarga dan rakan-rakan.

Pelan itu didatangkan dengan empat pilihan Celcom Mobile Gold Plus iaitu komitmen RM98 sebulan dan Celcom Mobile Gold Supreme, RM128, Celcom Mobile Platinum (RM148) dan Celcom Mobile Platinum Plus (RM188).

Zuwairi berkata, bagi pelanggan yang mengambil pelan peranti tergabung, pengguna boleh menggabungkan diskaun ke atas peranti sehingga RM3,000 atau nikmati diskaun sebanyak RM300 bagi setiap talian Celcom Mobile Family.

“Pengguna juga boleh menikmati program EasyPhone bersama Celcom Mobile Family serendah RM52 setiap bulan.

“Bermula 1 Jun 2018, semua produk baru yang ditawarkan adalah tanpa GST,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 9:32am
d