bisnes

Harap tiada SST terhadap industri barang kemas

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

Kuala Lumpur: Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels) berharap kerajaan tidak akan mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap industri barang kemas sebagaimana yang diamalkan sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Meer Habib berkata, pelaksanaan SST ke atas perniagaan barang kemas mungkin akan memberi kesan kurang baik.

“Sebagaimana yang dapat kami lihat, data daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menunjukkan eksport barang kemas merosot 20 peratus dari 2015 hingga 2016 selepas pelaksanaan GST.

“Malaysia adalah antara destinasi terbaik untuk membeli barang kemas atas faktor kualiti dan hasil krafnya. Selain rakyat tempatan, ramai pelancong dari Singapura, China dan negara lain yang datang ke sini untuk membeli barang kemas.

“Justeru, kami mengharapkan SST tidak dikenakan ke atas barang kemas kerana ia juga adalah satu bentuk pelaburan kepada rakyat di samping boleh menggalakkan pembelian barang kemas,” katanya pada sidang media di cawangan Habib Jewels di sini, semalam.

Harga jualan emas Habib Jewels sebelum GST ditetapkan pada kadar sifar adalah RM205 segram dan bermula semalam, ia turun kepada RM193 segram.

Mengulas lanjut, Meer berkata, pihaknya juga menyasar peningkatan jualan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh tiga bulan sebelum SST dilaksanakan.

“Selain daripada faktor sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi, ketiadaan GST dan SST dalam tempoh tiga bulan ini membuatkan orang ramai menggunakan kesempatan yang ada untuk membeli barang kemas pada kadar yang lebih murah.

“Malah, perbezaan antara jualan dan belian semula (trade-in) barang kemas juga semakin kurang. Oleh itu, pelanggan yang mahu menjual barang kemas yang lama boleh mendapat harga yang lebih tinggi pada masa ini,” katanya.

Meer berkata, pihaknya juga menjangka permintaan untuk emas semakin tinggi untuk tahun ini.

Dalam majlis sama, Meer turut mengumumkan bahawa Habib Jewels mengadakan promosi khas selama tiga hari bermula 1 Jun hingga 3 Jun yang mana cawangan terpilih menawarkan pelbagai promosi bagi koleksi hari raya.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 4:11am
d