bisnes

Celcom Axiata perkenal Ejen Maya Pintar

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad memperkenalkan saluran terkini perkhidmatan Ejen Maya Pintar dengan kecerdasan buatan (AI) Microsoft pertama seumpamanya di Asia bagi memperkasa pengalaman pelanggannya.

Perkhidmatan Ejen Maya Pintar Celcom menggabungkan kecanggihan AI dan teknologi mesin pembelajaran yang melahirkan dua karakter iaitu Clive serta Emma yang akan berinteraksi dengan pelanggan berkenaan pertanyaan dan transaksi sepanjang 24 jam.

Ciri Mesin Pembelajaran Microsoft membolehkan Clive dan Emma mengenal pasti soalan secara automatik melalui sistem berasaskan pengetahuan yang menambahbaik keberkesanannya dari masa ke semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Michael Kuehner berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan Microsoft Malaysia Sdn Bhd bagi memperkenalkan Ejen Maya Pintar.

Katanya, AI adalah antara perkara terpenting yang sedang dibangunkan manusia dan mempunyai potensi untuk pelbagai faedah.

“Kami sentiasa ingin di hadapan dalam strategi keutamaan pelanggan dengan menggunakan pendekatan berbeza dan kami lihat perkhidmatan AI dapat memenuhi keperluan digital mereka.

“Perkhidmatan Ejen Maya Pintar dengan sentuhan peribadi untuk pelanggan kami adalah salah satu inisiatif yang memperlihatkan usaha berterusan Celcom.

“Buat masa ini Ejen Maya Pintar boleh berinteraksi dalam Bahasa Inggeris dan bagi bahasa lain kami akan perkenalkannya pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran Ejen Maya Pintar Celcom di sini, semalam.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 10:40am
d