bisnes

RRMP lancar platform Superdeals

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) yang mengendalikan empat stesen radio tempatan, Fly FM, Hot FM, One FM dan Kool FM serta podcast Ais Kacang melancarkan hab e-dagang pertamanya, SuperDeals.

Ketua Pegawai Eksekutif RRMP Seelan Paul berkata, pihaknya mengambil peluang menjana pendapatan daripada pengguna melalui jenama e-dagangnya dan terus menginovasikan perniagaan bagi meningkatkan pendapatan tradisional serta digital.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan jangkauan di dua platform terbabit bagi memperkukuh SuperDeals secara meluas dapat mewujudkan minat yang besar dalam kalangan pengguna.

“Hampir lima juta pendengar radio secara mingguan dan 10 juta penonton digital disasarkan untuk produk yang ditawarkan di platform SuperDeals.

“Kami juga bekerjasama dengan syarikat teknologi antarabangsa untuk memastikan pengguna mempunyai pengalaman beli-belah yang lebih baik di SuperDeals.

“Kami berharap pelancaran platform ini dapat mengukuhkan jenama ini dalam industri e-dagang yang semakin berkembang pesat di Malaysia,” katanya di sini, semalam.

SuperDeals, hab e-dagang terbaru memfokuskan kepada penjualan baucar pelbagai tawaran seperti makanan dan minuman, spa dan kecantikan, pelancongan dan perkhidmatan.

Platform e-dagang itu dilengkapi dengan fungsi tiga bahasa yang mana ia adalah hab e-dagang pertama seumpamanya di Malaysia yang menawarkan kemudahan ini.

Selain itu, ciri unik lain yang ditawarkan SuperDeals ialah penghantaran mesej peringatan kepada pelanggan untuk menebus baucar sebelum tamat tempoh penebusan.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 9:52am
d