bisnes

Kerajaan ada keupayaan bayar hutang negara

Oleh Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Kerajaan mempunyai keupayaan membayar hutangnya selagi ekonomi berkembang pada kadar yang sihat lebih lima peratus, kata Ketua Ahli Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd, Manokaran Mottain.

Beliau berkata, ketika ini, caj pembayaran hutang berada pada paras 10 hingga 15 peratus daripada jumlah pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Caj pembayaran hutang, jelasnya, masih berada pada paras sihat sekitar tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih rendah berbanding negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dengan purata sekitar empat hingga peratus daripada KDNK.

“Mujurlah, 97 peratus jumlah hutang kerajaan dalam denominasi ringgit, sementara hutang denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen masing-masing berada pada paras dua peratus dan satu peratus.

“Ini bermakna hutang kerajaan dilindungi risiko turun naik tidak menentu mata wang utama,” katanya dalam nota penyelidikan.

Manokaran berkata, meskipun pemilikan asing hutang kerajaan sekitar 30 peratus dilihat tinggi, terdapat kecairan domestik yang mencukupi untuk menyerap sebarang aliran keluar dana memandangkan sektor pengurusan aset dan insurans dibangunkan dengan baik.

Beliau berkata, meskipun hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1 trilion membimbangkan, pihaknya menganggap ia belum lagi menjadi kebimbangan utama bagi syarikat penarafan, meskipun kebimbangan ia akan menyebabkan penurunan penarafan hutang negara.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 10:01am
d