bisnes

Gabenor Bank Negara tawar letak jawatan?

Oleh Bloomberg

GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim menawarkan diri untuk meletakkan jawatan selepas dua tahun berkhidmat, demikian menurut Bloomberg, yang memetik sumber enggan dikenali memandangkan perkara itu adalah perbincangan sulit.

Tindakan itu dibuat kurang sebulan selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memenangi pilihan raya umum dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membangkitkan persoalan mengenai pembelian tanah oleh bank pusat itu daripada pentadbiran terdahulu.

Bagaimanapun, masih belum jelas lagi apakah maklum balas kerajaan terhadap tawaran Muhammad untuk meletakkan jawatan.

Jurucakap bank pusat enggan mengulas mengenai sama ada Gabenor sudah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

Malah, seorang pegawai di Kementerian Kewangan juga enggan mengulas.

Muhammad tidak menjawab panggilan dan membalas pesanan teks kepada telefon bimbit serta telefon pejabatnya.

Guan Eng bulan lalu berkata, pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan wang diperoleh daripada penjualan tanah kepada bank pusat itu untuk membayar sebahagian hutang dana pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dibelenggu skandal rasuah.

BNM berkata, pembelian itu dibuat pada nilai yang wajar dan mematuhi semua keperluan tadbir urus serta undang-undang berkaitan.

Muhammad dinaikkan pangkat untuk menerajui BNM selama lima tahun pada Mei 2016, apabila Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, yang dilantik oleh Mahathir meletakkan jawatan selepas berkhidmat selama 16 tahun.

Beliau mendaki kerjaya di bank pusat selepas menyertainya pada 1984 dan diberikan sokongan oleh Zeti sebagai pengganti bagi menjamin kestabilan dasar.

Dilahirkan pada 1960 dan mempunyai ijazah Sarjana daripada Harvard University, Muhammad berdepan cabaran pasaran kewangan yang tidak menentu selepas mengambil alih kepimpinan di BNM.

Beliau memotong kadar faedah selepas mengambil alih jawatan dan melaksanakan had ke atas dagangan tukaran asing yang mengundang kritikan daripada peniaga mata wang.

Ekonomi Malaysia sejak itu meningkat, dengan mata wangnya antara yang mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun global tahun ini.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 5:48pm
d