bisnes

Pertimbang Astro sebagai syarikat persendirian

Oleh Bloomberg

T Ananda Krishnan sedang menimbangkan kemungkinan menjadikan Astro Malaysia Holdings Bhd sebagai syarikat persendirian selepas saham pengendali televisyen berbayar itu merosot ke paras terendah, kata individu yang rapat dengan perkembangan itu.

Hartawan itu dikatakan membangkitkan semula rancangannya untuk membeli saham Astro yang tidak dimilikinya, menurut individu berkenaan, yang enggan dikenali kerana maklumat itu sulit.

Ananda Krishnan dilaporkan sudah berbincang dengan penasihat berpotensi mengenai opsyen pembiayaan dan sudah bertemu dengan beberapa pelabur utama bagi mengukur minat mereka, kata sumber itu.

Astro mempunyai nilai pasaran kira-kira AS$1.9 bilion (RM7.57 bilion) berdasarkan harga penutup terakhirnya.

Saham syarikat itu menjunam 46 peratus tahun ini setakat kelmarin, menjadikannya saham yang mencatatkan prestasi paling buruk dalam kalangan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI, yang juga susut 2.3 peratus.

Ananda Krishnan adalah individu keempat paling kaya di Malaysia dengan nilai bersih kira-kira AS$4.9 bilion, menurut Bloomberg Billionaires Index.

Beliau menguasai 40.9 peratus kepentingan di dalam Astro setakat 10 April lalu, berdasarkan laporan tahunan terkini syarikat berkenaan.

Sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd memiliki 20.7 peratus, manakala dana persaraan pekerja swasta, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menguasai 7.8 peratus.

Platform televisyen satelit itu menawarkan 189 saluran kepada lebih lima juta pelanggannya dan mencapai lebih 70 peratus isi rumah di Malaysia.

Bagaimanapun, perbincangan itu (pengambilalihan) masih di peringkat awal dan tiada kepastian sama ada Ananda Krishnan akan meneruskan rancangan berkenaan, menurut sumber itu lagi.

Sementara itu, sayap pelaburan persendirian Ananda Krishnan, Usaha Tegas Sdn Bhd yang diminta mengulas mengenai isu berkenaan gagal dihubungi dan enggan memberikan sebarang komen, manakala jurucakap Astro pula, turut enggan memberikan sebarang ulasan mengenainya.

Ananda Krishnan dikenali sebagai individu yang membeli pegangan pelabur minoriti dalam senarai syarikat yang mempunyai pegangan sahamnya, apabila syarikat terbabit berdepan kejatuhan saham dengan tujuan mengembalikan semula syarikat itu ke dalam pasaran pada nilai lebih tinggi.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 8:48pm
d