bisnes

Sasar ARCHIDEX 2018 raih RM1b

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: Pameran Seni Bina, Hiasan Dalaman dan Bangunan Antarabangsa Malaysia Ke-19 (ARCHIDEX 2018) dijangka meraih transaksi perniagaan RM1 bilion sepanjang empat hari ia berlangsung pada 4 hingga 7 Julai depan.

Pameran tahunan anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan CIS Network Sdn Bhd (CIS) itu bakal disertai lebih 550 pempamer tempatan dan antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Australia, Austria, China, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan dan Thailand.

Presiden CIS Datuk Vincent Lim berkata, ARCHIDEX 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan dihadiri lebih 36,500 pengunjung dari 60 negara membabitkan 1,200 tapak pameran, 550 pempamer daripada 11 negara dan lebih 2,000 delegasi.

“Kami yakin sasaran transaksi lebih RM1 bilion meskipun penganjuran kali ini kurang memberi tumpuan kepada projek infrastruktur seperti tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media pra-pelancaran ARCHIDEX 2018 di sini, semalam.

Hadir sama Presiden PAM Ir Ezumi Harzani Ismail.

Tahun lalu, ARCHIDEX merekodkan transaksi RM1 bilion dan acara tahunan itu dihadiri sekitar 35,500 pengunjung.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 9:55am
d