bisnes

Jualan OPUS cecah 92 peratus

Kuala Lumpur: Bina Puri Properties Sdn Bhd menyasarkan untuk menjual sepenuhnya unit apartmen servis mewahnya, OPUS menjelang separuh kedua tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Matthew Tee berkata, pada masa ini jualan bagi unit apartmen berkenaan sudah mencecah 92 peratus.

“Daripada jumlah itu, 62 peratus pembeli adalah warga tempatan, 15 peratus dari Hong Kong dan baki 15 peratus (China).

“Kami kini sedang membuat semakan peningkatan harga terhadap 25 unit terakhir yang masih belum dijual.

“Ia berikutan kemajuan yang baik dalam projek pembinaan Menara 118 setinggi 118 tingkat milik Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan OPUS adalah satu-satunya projek yang paling hampir dengan menara berkenaan.

“Kami juga yakin dengan permintaan kukuh bagi baki unit yang tinggal memandangkan jualan dilihat meningkat sejak awal tahun ini berikutan orang ramai mula menyedari potensi kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyempurnaan struktur binaan bangunan apartmen berkenaan, di sini.

Nilai pembangunan kasar bagi OPUS meningkat dari RM360 juta kepada RM430 juta sejak ia mula dibina pada Jun 2015.

Projek yang terletak di Jalan Maharajalela itu merangkumi pembinaan dua menara kediaman setinggi 32 tingkat dengan jumlah keseluruhan 357 unit.

Antara kemudahan yang disediakan di projek berkenaan termasuklah sistem keselamatan, kolam renang, jakuzi, sauna dan gimnasium.

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 8:08am
d