bisnes

BERNAS relevan

Oleh Nora Mahpar

Kuala Lumpur: Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) menegaskan peranan badan itu masih relevan dan sistem beras negara sedia ada perlu dikekalkan bagi menjamin keselamatan serta nasib petani.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mohamed Yusof berkata, negara tidak pernah mengalami kekurangan beras dengan adanya BERNAS sebagai badan pengawal selia.

“Kita perlukan gatekeeper tunggal, jika buka kepada semua orang dan import terlebih, pengeluar tempatan tidak dapat jual padi mereka.

“Paling penting, beras kita antara termurah di pasaran dan hasil padi kita yang tertinggi dalam kalangan negara lain. Tiada sebab mengapa sistem monopoli perlu dihapuskan.

“Bagi saya sistem sedia ada yang terbaik. Jika kerajaan mahu kaji semula sistem ini, kami akan bekerjasama,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di sini, semalam.

BERNAS ditubuhkan pada 1996 dan mengendalikan perolehan, pemprosesan padi serta pengimportan, pergudangan, pengedaran dan pemasaran beras di Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, tiada alasan menurunkan harga beras kerana harga ketika ini kadar murah.

“Semangkuk beras di Malaysia berharga 26 sen. Nak murah bagaimana lagi?” katanya.

Katanya, BERNAS mengimport 700 hingga 900 ribu tan metrik beras setahun manakala kadar pemulihan beras tempatan sekitar 64 ke 65 peratus.

“Jumlah import bergantung kepada pengeluaran tempatan, jika sedikit, kami import lebih.

“Kami ada stok, cuma tak boleh simpan terlalu banyak untuk tempoh lama kerana beras rosak,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan monopoli BERNAS dan pembelian beras dihapuskan bagi membuka pasaran sama seperti Indonesia.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 10:22am
d