bisnes

839 usahawan sertai program MyBazar

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: MyBazar berada di landasan tepat untuk mencapai 1,500 usahawan menerusi Barangan Luar Eksklusif e-Usahawan (Blee) MyBazar tahun ini apabila 839 usahawan menyertai program itu.

Pengarah Pemasaran MyBazar, Aaliyah Soraya Darus berkata, pihaknya tidak menjangka berjaya mencapai lebih daripada 50 peratus daripada jumlah usahawan yang disasarkan.

Katanya, Blee MyBazar adalah platform yang tepat untuk membantu usahawan terutama luar bandar menjalankan perniagaan secara e-dagang.

“Kira-kira 70 peratus usahawan di bawah program ini berasal dari kawasan luar bandar.

“Pada masa ini, kami sedang membantu usahawan luar bandar iaitu di sekitar Jeli, Kelantan dan Sintok, Kedah dalam mempromosikan serta menjual produk mereka di seluruh Malaysia,” katanya kepada Bisnes Harian Metro di sini.

Menurutnya, ramai usahawan tidak mempunyai pendedahan mengenai e-dagang atau berniaga secara online.

“Oleh itu, saya bersama dengan pasukan akan membantu serta membimbing usahawan Blee ini dalam perniagaan mereka sekali gus menjana pendapatan,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 10:26am
d