bisnes

Lumrah pasaran saham

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Penurunan nilai pelaburan lebih RM6 bilion dicatatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi 10 syarikat tersenarai awam (PLC) dalam tempoh sebulan ini adalah sesuatu yang biasa di dalam pasaran saham.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi penurunan berkenaan kerana naik turun pasaran saham adalah sesuatu yang lumrah.

Katanya, laporan penurunan nilai pelaburan itu adalah dijangka, sejajar dengan penyusutan pasaran saham tempatan, baru-baru ini yang dicetuskan oleh jualan daripada pelabur asing.

“Kami yakin pelabur asing yang menjual ini akan kembali membeli sepanjang separuh kedua tahun ini, sekali gus kami jangkakan nilai pelaburan ini untuk pulih semula.

“Di sebalik jualan asing baru-baru ini, kami menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk pulih semula, mungkin mencecah paras 1,900 mata pada akhir tahun ini,” katanya kepada NSTP ketika dihubungi, semalam.

Mengenai sama ada penurunan nilai pelaburan itu mampu menjejaskan pulangan kepada pencarum, Kenny berkata, masih terlalu awal untuk menilai perkara itu kerana KWSP juga mempunyai sumber pelaburan yang lain.

Kelmarin, akhbar The Edge melaporkan, pelaburan KWSP menerusi 10 PLC mencatatkan kerugian sebanyak RM6.09 bilion setelah jatuh kepada 12 peratus dalam tempoh sebulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut laporan itu, nilai pelaburan menurun secara mendadak daripada RM51.21 bilion kepada RM45.12 bilion dalam tempoh sebulan.

Laporan itu memaklumkan, 10 saham utama yang mencatatkan prestasi terburuk dalam portfolio KWSP sepanjang tempoh itu ialah Cahya Mata Sarawak Bhd, Malaysian Resources Corp Bhd, IJM Corp Bhd, Gamuda Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Axiata Group Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd dan Genting Plantations Bhd.

Sementara itu, seorang jurucakap KWSP memberitahu NSTP, KWSP tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara itu kerana pergerakan harga dan keadaan naik turun di pasaran saham sentiasa berlaku setiap masa.

Pada 28 Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pernah berkata, pihaknya tidak bimbang mengenai aktiviti pasaran saham tempatan ketika ini.

Beliau berkata, lazimnya, pasaran saham akan mencatatkan kejatuhan dan peningkatan.

Paling utama, jelasnya, adalah melihat pasaran dalam jangka panjang.

“Kami selalu mengingatkan orang ramai supaya tidak melihat pasaran dalam jangka pendek. Sebaliknya melihat dalam tempoh kitaran tiga hingga lima tahun. Ia adalah cara terbaik membuat pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff turut senada apabila mengatakan naik turun di dalam pasaran saham adalah sesuatu yang lazim.

Katanya, beliau menjangkakan kejatuhan nilai pelaburan itu adalah bersifat sementara dan akan melonjak semula apabila pelabur asing kembali memasuki pasaran saham tempatan.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 9:47am
d