bisnes

Pusat Sehenti QBEEmotor The Garage

Oleh Nurul Amanina Suhaini

QBEE Motor Group Sdn Bhd, pengedar motosikal berkuasa tinggi mewujudkan pusat jualan, servis dan alat ganti baharu bagi memberi perkhidmatan terbaik dan pengalaman berbeza khususnya peminat motosikal berkuasa tinggi.

Pusat sehenti QBEEmotor The Garage berkeluasan 2508.38 meter persegi itu bertempat di Jalan Tiong Emas 3, Kawasan Perindustrian Tiong Nam, Johor Bahru.

Pengarahnya Ng Tiong Sew berkata, ia dilengkapi ruang penyelenggaraan, alat ganti tulen, galeri topi keledar dan pameran jualan motosikal khususnya jenama Kawasaki dan Suzuki.

Menurutnya, pusat sehenti dengan nilai pelaburan lebih RM500,000 itu bukan sahaja menyediakan khidmat selepas jualan, malah menawarkan aksesori motosikal berkualiti pada harga berpatutan.

Katanya, ia adalah cawangan kedua selepas yang pertama di Taman Molek dan beroperasi sejak 1987.

“Tujuan kami untuk memberi perkhidmatan terbaik dan pengalaman berbeza khususnya peminat motosikal berkuasa tinggi.

“Untuk mengukuhkan jenama dan pembabitan lebih dekat dengan pelanggan, kami menyediakan tawaran istimewa sempena ulang tahun syarikat ke-30 termasuk percuma sebuah topi keledar dengan pembelian topi keledar jenama Nolan dari Itali berharga antara RM800 hingga RM3,300.

“Selain itu, syarikat turut menawarkan diskaun 25 peratus bagi pelanggan yang mendapatkan aksesori, di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan QBEEmotor The Garage di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah.

Menurutnya, lebih 18 produk dijual di pusat sehenti itu, selain pameran lebih 10 jenama motosikal berkuasa tinggi yang pastinya memukau peminat jentera berkenaan.

“Selain pameran motosikal seperti Kawasaki Vulcan S dan Kawasaki Versys 650, topi keledar full-face seperti Bell dari Amerika Syarikat, topi keledar MT dari Sepanyol dan NHK dari Indonesia turut ditawarkan.

“Pusat sehenti ini akan beroperasi mulai 10 pagi hingga 7 malam setiap Isnin hingga Sabtu.

“Ruang penyelenggaraan akan mula beroperasi tiga bulan kemudian bagi memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan selepas jualan,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 7:22pm
d