bisnes

'Beri penjelasan kenapa permohonan kami ditolak!'

Oleh Bilqis Bahari

Sepang: AirAsia Bhd menggesa pengawal selia sektor penerbangan di Malaysia meningkatkan kerjasama menyokong pertumbuhan industri pengangkutan udara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Riad Asmat berkata, ada keperluan perbincangan terbuka dan penjelasan antara syarikat penerbangan dan pengawal selia industri seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Saya setuju kami perlu dikawal selia dan penjelasan memberikan petunjuk bagus di mana kami boleh bertindak dan apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan. Bahagian yang saya tidak faham pula, contohnya, apabila meminta lebih banyak penerbangan dan ditolak, saya tidak diberikan penjelasan mengapa ia ditolak.

“Kebiasaannya, penolakan (kelulusan laluan) alasan yang diberikan amat minimum atau sebahagiannya langsung tiada. Kami perlu pemahaman lebih baik mengenai apakah sebabnya,” katanya.

Riad berkata, sama seperti syarikat penerbangan lain, jika alasan penolakan itu jelas, maka AirAsia berkemungkinan bersetuju terhadapnya atau menyemak semula pelan rangkaian laluannya.

Antara laluan yang ditolak MAVCOM baru-baru ini adalah Kota Kinabalu–Sandakan.

AirAsia sebelum itu merancang menambah tujuh penerbangan mingguan bagi laluan berkenaan.

Selain MAVCOM, pengawal selia utama sektor penerbangan di Malaysia adalah Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Saya berhubung dengan semuanya. Ia hubungan mesra namun saya sentiasa mahukan penjelasan dan berasa boleh mendapat penjelasan daripada sesetengah pihak, namun tidak sebanyak pihak yang lain,” katanya sambil menambah kedua-dua pihak wajar bekerjasama mengukuhkan hubungan.

Di negara maju, pengawalseliaan industri penerbangan adalah lebih berpusat. Di United Kingdom (UK) contohnya, Lembaga Penerbangan Awam (CAA) menguruskan semua perkara berkaitan penerbangan di negara itu.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 8:22am
d