bisnes

Cita rasa pelanggan

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Coca-Cola Malaysia terus memberi tumpuan kepada cita rasa pelanggan serta menawarkan apa yang dikehendaki pasaran.

Pengurus Negara, Malaysia/Singapura/Brunei, Coca-Cola Far East Limited Ahmed Yehia berkata, strategi perniagaan pihaknya memberi tumpuan kepada pilihan, kemudahan dan pengguna.

“Untuk mencapai strategi ini, kami mengalihkan tumpuan daripada menawarkan apa yang syarikat mahu jual kepada apa yang pengguna mahu beli.

“Ia usaha membina portfolio sebagai jenama yang berpusatkan pengguna,” katanya di sini.

Menurutnya, ia antara lain memerlukan Coca-Cola mengubah portfolio menjadi lebih responsif terhadap rasa dan keperluan rakyat Malaysia.

“Kami sentiasa mempunyai rekod pencapaian inovasi yang kukuh dan ia berterusan sehingga hari ini dengan pengenalan Coca-Cola Stevia pada Januari lalu.

“Coca-Cola Stevia adalah inovasi utama yang membuka jalan untuk tindakan lebih luas dalam portfolio kami termasuk mengurangkan gula dalam jenama utama kami dan meningkatkan penyertaan dalam Program Logo Pilihan Sihat (HCL) Kementerian Kesihatan,” katanya.

Tahun lalu, Coca-Cola melancarkan imej terbaru dengan paparan Satu Jenama untuk keempat-empat varian Coca-Cola ditawarkan.

Ahmed berkata, pihaknya terus mengambil inisiatif menghasilkan resipi bermanfaat selain memperkenalkan pakej lebih kecil.

“Kami mengalih tumpuan pemasaran ke arah produk rendah gula atau tiada gula. Coca-Cola Stevia adalah antara produk yang berjaya dihasilkan dengan rasa seakan-akan Coca-Cola Classic, tetapi 35 peratus kurang kandungan gula,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 8:38am
d