bisnes

Kerjasama MSL lonjak jualan e-tiket Shopee

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

Kuala Lumpur: Platform e-dagang, Shopee merekodkan jualan memberangsangkan tiket elektronik (e-tiket) Liga Bola Sepak Malaysia (MSL) apabila meningkat sehingga 306.5 peratus sejak dilancarkan Mac lalu.

Sehingga 5 Julai, jumlah e-tiket MSL yang dijual menerusi Shoppee meningkat kepada 20,423 keping berbanding sasaran awal iaitu 5,000 keping.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, jualan e-tiket melonjak lebih 5,000 unit dalam tempoh dua bulan selepas memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama MSL, empat bulan lalu.

“Kejayaan ini membuktikan populariti acara perlawanan bola sepak di negara ini. Apa yang penting, kami tidak mengenakan yuran pendaftaran atau tahunan serta caj komisen ke atas usahawan.

“Keseluruhan hasil jualan tiket di Shopee disalurkan terus untuk kebajikan pasukan bola sepak tempatan,” katanya sempena perlawanan akhir Shopee Piala FA, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Ho berkata, bagi memenuhi permintaan peminat bola sepak di negara ini, pihaknya melancarkan kedai rasmi yang menjual cenderahati MFL.

“Ia termasuklah produk seperti kit tulen pasukan bola sepak Malaysia, pakaian, beg, aksesori dan pelbagai lagi,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 11:26am
d