bisnes

Alibaba Group terus melabur

Oleh BERNAMA

Hanzhou: Kajian semula projek berkaitan China di Malaysia tidak menjejaskan pelan syarikat gergasi e-dagang, Alibaba Group untuk terus meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Ketua Perwakilan Alibaba Group Malaysia, James Song berkata, sebagai sebuah syarikat komersial, ia melabur banyak di Malaysia di samping menegaskan bahawa kumpulan itu menumpukan kepada hubungan dua hala Malaysia-China.

“Kami positif mengenai hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan pada masa sama kami yakin dengan masa depan Malaysia.

“Kami yakin dengan projek kami di Malaysia dan tiada halangan, kami akan terus melabur di Malaysia, kami tidak pernah mengubah komitmen kami kepada rakyat tempatan dan kami terus berbuat demikian,” katanya pada media ketika Lawatan Media Alibaba Group di sini.

Song berkata, Pengasas Bersama dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma mengunjungi Malaysia, baru-baru ini dan berpeluang berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa menteri termasuk kewangan dan komunikasi.

“Apa kami lihat dan dengar membuktikan tiada salah antara kedua-dua negara, berikutan banyak syarikat lain yang bimbang mengenai hubungan dua hala Malaysia-China tetapi bagi kami tiada tanda negatif antara kedua-dua negara,” kata Song.

Dilaporkan sebelum ini, Malaysia Rail Link Sdn Bhd memaklumkan kepada China Communications Construction Company (CCCC), kontraktor projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk menggantung kerja di projek kereta api sepanjang 688.3 kilometer itu dengan alasan kepentingan negara.

Penggantungan itu dibuat sehari selepas Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa kos akhir projek ECRL adalah RM81 bilion dan CCCC perlu mengurangkan kos pembinaan untuk menjadikannya berdaya maju dari segi kewangan.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 12:03pm
d